Ahkamul Aqiqah

Tazkirah باسم الله الرحمان الرحيم
ألحمد لله الرب العالمين ثم الصلاة و السلام علي رسوله الأمين و على آله و أصحابه أجمعين أما بعد.

Ta’rif

Pada bahasa, Aqiqah العقيقة berasal dari perkataan al aqqu العقyang membawa erti ‘potong’. Aqiqah juga membawa makna rambut bayi ketika lahir. Rambut tersebut dinamakan sedemikian kerana ianya dicukur atau dipotong.

Pada istilah syarak, aqiqah membawa makna binatang yang disembelih sempena rambut bayi dicukur. Sembelihan tersebut dinamakan aqiqah kerana ia dipotong dan dilapah.

Hukum AqiqahHukumnya sunat mu’akkad. Orang yang disunatkan melakukannya ialah wali yang menanggung nafkah bayi itu.

Waktu Aqiqah

Sunat dilakukan aqiqah pada hari ketujuh bayi dilahirkan. Ini sabit dari hadis nabi daripada Samurah r.a.katanya,
الغلام موتهن بعقيقته يذبح عنه يوم السابع ويسمى و يحلق رأسه
Maksudnya, “Bayi itu tertebus dengan aqiqahnya. Disembelih aqiqah pada hari ketujuh kelahirannya, diberikan nama, dan dicukur rambutnya.”

Maksud tertebus dengan aqiqahnya dalam hadis ialah bayi itu membesar dengan baik dan pemeliharaannya sempurna.

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa bayi itu tidak mensyafaatkan ibu bapanya di akhirat kelak sekiranya aqiqahnya tidak dibuat.

Hikmahnya

1.Menyatakan kesyukuran dan rasa gembira ibubapa atau walinya yang dikurniakan anak yang dimudahkan kelahirannya oleh Allah.

2.Mengiklankan berita kelahiran anak agar tidak timbul prasangka terhadap keturunannya.

3.Menyuburkan sifat pemurah dan baik hati di kalangan manusia serta tidfak tunduk kepada nafsu yang mengajak manusia agar menjadi bakhil.

4.Mewujudkan suasana gembira dan penuh kasih sayang antara ahli keluarga, kaum kerabat, sahabat handai, jiran dan fakir miskin yang dijemput ke majlis jamuan aqiqah.

5.Menjadikan aqiqah sebagai penebus anak yang baru lahir bagi mengelakkannya daripada penyakit-penyakit dan musibah sebagaimana Allah s.w.t. telah menebus Ismail a.s. dengan penyembelihan agung.

6.Membolehkan anak memberi syafaat kepada kedua ibubapanya kelak.

7.Menjadi salah satu cara mengajar masyarakat jadi manusia yang suka bantu membantu, lebih-lebih lagi antara yang kaya dengan si miskin.

Binatang Aqiqah

Binatang yang disembelih untuk aqiqah memadai seekor kambing, baik untuk anak lelaki mahupun perempuan. Dalilnya:
عق رسول الله (ص) عن الحسن بشاة
Maksudnya;”Rasulullah s.a.w. aqiqahkan al Hasan dengan seekor kambing.”

Walaubagaimanapun , yang afdhal dua ekor kambing untuk anak lelaki dan seekor untuk anak perempuan berdasarkan hadis:

أن رسول الله أمرهم عن الغلام شتان متكافئتان و عن الجارية شاة
Maksudnya: “Rasulullah s.a.w. menyuruh mereka menyembelih dua ekor kambing yang sepadan bagi aqiqah anak lelaki dan seekor bagi anak perempuan.”

Aqiqah mengikut bilangan anak

Satu Aqiqah tidak memadai untuk lebih dari seorang anak. Maka, bilangan aqiqah bertambah mengikut pertambahan bilangan anak yang ingin diaqiqahkan. Maknanya, seekor kambing untuk seorang anak, dua ekor kambing untuk dua orang anak, dan begitulah seterusnya.

Syarat-syarat Aqiqah

Syarat penyembelihan Aqiqah samalah dengan syarat korban dari segi binatangnya, umur, dan tiada kecacatan yang mengurangkan dagingnya. Ini kerana aqiqah merupakan sembelihan sunat yang sama dengan ibadah korban.

Perbezaan Aqiqah dengan Korban

1.Daging Aqiqah sunat disedekahkan sesudah dimasak. Manakala daging korban sunat dibahagi mentah.
2.Seberapa yang boleh tulang binatang aqiqah sunat tidak dikerat-kerat. Ia dipotong pada sendi-sendinya sahaja. Mudah-mudahan anggota anak yang diaqiqahkan itu selamat.
3.Kaki binatang aqiqah sunat dihadiahkan kepada bidan tanpa dimasak. Hal ini mengikut perbuatan Fatimah r.a. atas suruhan Rasulullah s.a.w.

Wallahu a’lam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s